Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan
peristiwa turunnya ayat al-Qur'an yang
pertama kepada Nabi Muhammad
s.a.w. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap
sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran
berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi
Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos
610M. Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke
bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka
ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius
memikirkan rahsia al-Quran.
Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan
Allah kepada Nabi Muhammad
s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat
pertama daripadaSurah
Al-Alaq.
PERINGKAT
PENURUNAN AL-QURAN
Para
ulama menyatakan penurunan al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara
sekaligus, Dan berperingkat. Walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat
tentang berapa kali berlakunya penurunan al-Quran secara sekaligus. Terdapat
tiga pandangan mengenai hal ini, iaitu;
Pertama, Penurunan al-Quran dari Allah SWT ke
al-Lauh al-Mahfuz;
Kedua, Dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait
al-‘Izzah di langit dunia; dan
Ketiga, Penurunan kepada Jibril a.s. dalam
tempoh 20 malam.
Al-Suyuti
dalam kitabnya ‘al-Itqan if Ulum al-Quran’ berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn
‘Abbas, Hakim Dan al-Nasa’i, hanya membahagikan kepada dua peringkat sahaja
iaitu dari al-Lauh Mahfuz ke Bait al-‘Izzah Dan dari Bait al-‘Izzah kepada
Rasulullah SAW melalui Jibril a.s.
1.
Dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz.
Penurunan ini berlaku sekaligus dengan tujuan untuk membuktikan ketinggian Dan
kekuasaan Allah SWT. Para Malaikat menyaksikan bahawa segala perkara yang
ditentukan oleh Allah SWT di Luh Mahfuz ini benar-benar berlaku. Pendapat ini
disandarkan kepada ayat 21 dan 22 surah al-Buruj yang berbunyi,
بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مجيد فِي لَوْحٍ
مَحْفُوظ .
“(Sebenarnya
apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan
ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan
sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz.” (al-Buruj:21-22)
2.
Dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia
Penurunan
kali kedua secara sekali Gus dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-’Izzah di langit
dunia dipercayai berlaku berpandukan kepada tiga (3) ayat al-Quran sebagaimana
yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas;
Allah
SWT berfirman, dalam al-Baqarah, ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“(Masa
yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan
Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi
keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk Dan (menjelaskan) perbezaan
antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang
menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia
berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia
berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak Hari yang ditinggalkan itu
pada hari-Hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah
menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung
kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan
supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu
bersyukur.”
Firman
Allah SWT, dalam ad-Dukhan, ayat 3:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ
“Sesungguhnya
Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat
demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran
(jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).”
Firman
Allah SWT dalam al-Qadr, ayat 1:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
“Sesungguhnya
Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.”
Ibn
‘Abbas juga menyatakan mengikut apa yang diriwayatkan oleh Said b. Jubayr:
“Al-Quran diturunkan sekali gus pada malam yang penuh berkat.” Ikrimah pula
meriwayatkan ‘Abdullah bin ‘Abbas berkata: “Al-Quran diasingkan daripada
al-Dhikr ‘الذكر’ dan
ditempatkan di Bait
al-‘Izzah di langit dunia.
Ibn
Marduwayh dan al-Baihaqi mencatatkan perbualan antara ‘Atiyyah bin al-Aswad dan
‘Abdullah bin ‘Abbas yang mana ‘Atiyyah agak keliru mengenai penurunan
ayat-ayat ini, “Pada bulan Ramadhan al-Quran diturunkan”, dan “Sesungguhnya
Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar”, ia juga
diturunkan pada bulan Syawwal, Dhu al-Qaedah, Dhu al-Hijjah, al-Muharram, Safar
dan Rabi’ al-Awwal.” Kemudian Ibn ‘Abbas menjelaskan: “Al-Quran diturunkan pada
malam Lailatul-Qadar sekali gus kemudiannya untuk diwahyukan kepada Rasulullah
s.a.w. secara beransur-ansur selama beberapa bulan dan hari.”
3.
Dari Bait al-’Izzah kepada Rasulullah SAW
Menurut
sebuah riwayat oleh Ibn Abbas dan pandangan majoriti para mufassirin, Al-Quran
diturunkan sekaligus ke ‘Baitul Izzah’di langit ke dunia
pada malam ‘Lailatul Qadar’. Sedangkan Al-Quran yang
diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara
beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.
Al-Quran
mula diturunkan kepada Rasulullah SAW secara beransur-ansur sejak baginda
dilantik menjadi Rasulullah SAW dan selesai apabila baginda hampir wafat, iaitu
dalam tempoh masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan
10 tahun di Madinah al-Munawwarah. Ayat-ayat dan surah-surah yang diturunkan
sebelum peristiwa hijrah dikenali sebagai Makkiyah dan yang diturunkan selepas
peristiwa hijrah dikenali sebagai Madaniyyah .
Mengikut
pendapat ini, Jibril a.s. diberi Malam Lailatul-Qadar setiap tahun, dari mula
turun wahyu hingga ke akhirnya sepanjang tempoh kenabian, sebahagian daripada
al-Quran disimpan di Bait al-‘Izzah yang mencukupi baginya untuk disampaikan
kepada Rasulullah SAW dalam masa 20 tahun. Pandangan ini dipegang kuat oleh
al-Mawardi.
RasululLah
SAW bersabda: “Al-Quran diturunkan sekali gus oleh Allah ke langit
dunia pada malam al-Qadr kemudian ia diturunkan secara berperingkat dalam masa
20 tahun” (Hadis riwayat Ibn Abbas.)
Sebahagian
ulama berpendapat penurunan al-Quran hanya sekali sahaja iaitu daripada Allah
SWT terus kepada Rasulullah SAW melalui Jibril secara berperingkat dan bukannya
tiga kali dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz, ke Bait al-‘Izzah dan kepada
Rasulullah SAW.
AYAT
PERTAMA DAN TERAKHIR
Ayat
al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui
perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama
Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari
sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar
manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak
diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)
Dan
peristiwa ini terjadi ketika Rasulullah SAW sedang bertahannus (menyendiri) di
Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah
ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.
CARA-CARA
AL-QURAN DIWAHYUKAN
Isteri
Rasulullah SAW, Saidatina Aishah, meriwayatkan sebelum Nabi Muhammad diangkat
menjadi Rasul, beliau bermimpi perkara yang benar lalu beliau menyendiri di gua
Hira’ beribadah kepada Allah SWT untuk selama beberapa tahun. Di gua
berkenaanlah baginda menerima wahyu yang pertama.
Harith
bin Hisham, seorang sahabat Rasulullah SAW, pernah bertanya kepada Baginda
bagaimana Wahyu diturunkan kepadanya. Rasulullah menjawab, ”Kadang-kadang
wahyu datang kepada-Ku dengan gema (desingan) loceng Dan ini amat berat
bagi-Ku, Dan sementara bunyi itu hilang aku mengingati apa yang disampaikan
kepada-Ku. Kadang Ia datang dalam bentuk jelmaan malaikat kepada-Ku merupai
lelaki, bercakap dengan-Ku Dan aku menerima apa saja yang disampaikannya
kepada-Ku.”
Nabi
Muhammad SAW mengalami bermacam-macam cara dan keadaan semasa menerima wahyu.
Antara cara-cara Al-Quran diwahyukan adalah:
1.
Menerusi mimpi yang benar (al-Rukya al-Sadiqah) Malaikat memasukkan wahyu itu
ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi SAW tidak melihat sesuatu apa pun, hanya
beliau merasa bahawa itu sudah berada di dalam kalbunya. Sebagai contohnya Nabi
pernah bersabda mengatakan: “Ruhul Quddus mewahyukan ke dalam
kalbuku bahawa seseorang itu takkan mati sehingga dia menyempurnakan rezekinya
yang telah ditetapkan oleh Allah“. ( As-Syura: 51)
2.
Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW menyerupai seorang lelaki yang
mengucapkan kata-kata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal benar
mengenai kata-kata itu.
3.
Wahyu datang kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat berat
dirasakan Nabi SAW. Kadang-kadang pada keningnya terdapat peluh, meskipun
turunnya wahyu itu di musim yang sangat dingin. Ada ketikanya, unta beliau
terpaksa berhenti dan duduk kerana merasa amat berat.
Diriwayatkan
oleh Zaid bin Tsabit: ” Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada
Rasulullah. Aku lihat Rasulullah ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang
demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Kemudian setelah
selesai turunnya wahyu, barulah beliau kembali seperti biasa”.
4.
Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW. dalam rupanya yang benar-benar
asli sebagaimana yang terdapat di dalam surah An- Najm ayat 13 & 14 : “Sesungguhnya
Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di
Sidratulmuntaha”
5.
Malaikat mewahyukan kepada Nabi SAW dari atas langit seperti yang berlaku dalam
peristiwa al-Isra` wal Mikraj . Sesetengah ulamak berpendapat baginda SAW juga
pernah berbicara secara langsung dengan Allah dan menerima wahyu seperti yang
berlaku pada Nabi Musa.Perkara ini merupakan suatu khilaf di kalangan para
ulamak.
TUJUAN
AL-QURAN DITURUNKAN BERPERINGKAT
Tujuan
Allah menurunkan secara beransur-ansur adalah bagi memenuhi objektif-objektif
berikut :
·
Agar
lebih mudah difahami dan dilaksanakan.
Orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya suruhan dan
larangan itu diturunkan sekaligus dalam kadar yang banyak. Hal ini disebut oleh
Bukhari dari riwayat ‘Aisyah r.a.
Di antara ayat-ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan
kamaslahatan. Ini tidak dapat dilakukan sekiranya Al Quran diturunkan
sekaligus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh)
Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa-peristiwa yang terjadi akan lebih
berkesan dan lebih berpengaruh di hati.
·
Memudahkan
penghafalan.
Orang-orang musyrik yang telah menanyakan mengapa Al Quran tidak diturunkan
sekaligus, sebagaimana disebut dalam Al Quran surah Al Furqaan ayat 32:
“……mengapakah
Al Quran tidak diturunkan kepadanya sekaligus….?”
Kemudian
dijawab di dalam ayat itu sendiri:
“….Demikianlah,
dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu..”.
.
FUNGSI AL-QURAN
Al-Quran
mempunyai beberapa fungsi penting, diantaranya ialah:
1. Sebagai
Mukjizat Nabi Muhammad SAW.
Al-Quran
merupakan bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW, sekaligus ianya
menjadi bukti bahawa Al-Quran merupakan firman Allah SWT, bukannya ucapan atau
ciptaan Nabi Muhammad SAW sendiri. Rasullulah SAW telah menjadikan Al-Quran
sebagai senjata bagi menentang orang-orang kafir Quraisy. Didapati bahawa
mereka sememangnya tidak mampu menghadapinya, padahal mereka mempunyai
kemahiran menggubah bahasa-bahasa yang indah dalam ucapan dan sajak-sajak
mereka. Al-Quran secara prisipnya telah mengemukakan cabaran kepada bangsa Arab
menerusi tiga peringkat iaitu :
.
Peringkat
pertama.
Mencabar
mereka dengan keseluruhan Al-Quran dalam uslub umum yang meliputi orang Arab
sendiri dan orang lain, manusia malah jin, dengan cabaran yang mengalahkan dan
menjatuhkan mereka secara padu sebagaimana firmanNya.
“Katakanlah:
Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Quran
ini, niscaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun
sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.” (17 :
88)
.
Peringkat
kedua.
Mencabar
dengan sepuluh surah sahaja daripada Al-Quran. Sebagaimana firmanNya:
“Bahkan
mereka mengatakan “Muhammad telah membuat-buat Al-Quran.” Katakanlah: Jika
demikian, maka datangkanlah sepuluh surah yang dibuat-buat yang menyamainya,
dan panggillah orang-orang yang kamu sanggup (memanggilnya) selain Allah, jika
kamu memang orang-orang yang benar. Jika mereka (yang kamu seru itu) tidak
menerima seruanmu, ketahuilah, sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan dengan ilmu
Allah” (11
: 13-14)
.
Peringkat
ketiga.
Mencabar
mereka hanya dengan satu surah daripada Al-Quran sahaja. Sebagaimana firmanNya:
“Atau
(patutkah) mereka mengatakan: Muhammad membuat-buatnya (Al-Quran). (Kalau benar
yang kamu katakan itu), cubalah datangkan satu surat seumpamanya” (10
: 38)
Dan
cabaran ini diulangi di dalam firmanNya:
“Dan
jika kamu tetap dalam keadaan ragu tentang Quran yang Kami wahyukan kepada
hamba Kami (Muhammad saw), maka buatlah satu surat saja yang semisal Al-Quran
itu…” (2 : 23 )
.
.
2. Sebagai Sumber Hukum Dan Aturan
Hidup.
Ayat-ayat
Al-Quran mengandungi peraturan tentang hukum-hukum siyasah negara, sosial,
pendidikan, pengadilan, akhlak dan sebagainya. Semua aturan dan hukum ini wajib
dijadikan sebagai pandangan hidup bagi seluruh kaum muslimin dan umat manusia
untuk mengatasi semua permasalahan hidup yang dihadapinya.
.
Sememangnya
penyelesaian yang diberikan oleh syariat Islam adalah merupakan penyelesaian
yang sebenar-benarnya kearan ia satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi
fitrah manusia itu sendiri. Kemampuan syariat Islam dalam menyelesaikan
pelbagai permasalahan kehidupan manusia inilah yang akan menjadikan Al-Quran
sebagai mukjizat abadi yang paling menonjol di muka bumi.
.
Wallahu
A’alam Bissowab



No comments:
Post a Comment