Monday, 29 May 2017

Ramadhan Kareem! Allahu Akram!

 
 
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
 
         Ramadhan ke-3, alhamdulillah masih diberi kesempatan oleh Nya menikmati keindahan alam buana, menghirup lembut udara pinjaman dari Nya. Ramadhan sangat sinonim dengan tarawih dan juga qiyam. Tidak dilupakan lautan manusia di bazar Ramadhan *aku di antara manusia-manusia itu*. Namun, apa yang pasti, bulan Ramadhan adalah bulan di mana si hamba benar-benar diuji ketaataanya. Engkau disuruh berpuasa di siang hari, beribadat di malam hari lalu qiyam dengan pahala yang berlipat kali ganda diberi oleh Nya. Bulan ini dikenali gedung pahala, setiap perbuatan kebaikan dikira pahala hatta kau tidur sekalipun dicatat sebagai pahala. MasyaAllah! Kasihnya Tuhan pada umat Rasulullah, Nabi akhir zaman. 


      Beribadatlah semahu-mahunya pada bulan ini. Bertaubatlah bersungguh-sungguh pada bulan ini. Andai engkau ingin berubah, inilah masa dan waktunya. Jadilah manusia yang lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya agar kita semua keluar sahaja dari Ramadhan ibarat bayi yang baru dilahirkan, suci dari onar dan dosa. 


Sahabat pembaca yang dikasihi, 
          Dunia ini tidak seindah yang kita gambarkan. Setiap manusia ceritanya berbeza, jalan hidup juga berbeza. Kita semua pendosa, andai pergi satu hari nanti adakah kita sudah bersedia menghadap Illahi? Ya, hari ini engkau angkuh menongkah dunia dengan angan-angan mu sendiri. Amanah yang digalas kau buat sesuka hati. Hari ini engkau gembira, dengan hati yang penuh alpa. Sedikit pun tidak kau hiraukan mereka yang derita. Ya, aku tahu. Tidak ada yang adil dalam dunia ini. Seandai kau tidak mampu jadi orang yang alim, jangan pula memilih jadi yang zalim. Sampai masanya kita akan pergi. Pergi yang tidak mungkin akan kembali!



Sekian,
Aku, yang obses dengan Tuhan! 

No comments:

Post a Comment